Sabtu, 12 Disember 2009

penggayaan tudung


Pemilihan tudung tingkatkan penampilan

PEMAKAIAN tudung sudah menjadi satu kelaziman di kalangan wanita Islam di negara ini dalam memenuhi tuntutan menutup aurat sebagaimana yang telah disyariatkan.

Tanpa meminggirkan niat asal tersebut dan seiring dengan perkembangan semasa, tudung menjadi sebahagian elemen fesyen yang sedikit sebanyak berperanan meningkatkan penampilan diri wanita muslimah.

Pemakaian tudung dan selendang di kalangan wanita masa kini semakin hari semakin kreatif lebih-lebih lagi dengan rekaan-rekaan yang menarik dan bervariasi.

Bukan saja di kalangan remaja bersekolah, pemakaian tudung jelas bertambah meluas di kalangan suri rumah, golongan profesional, selebriti, tokoh pemimpin, sehinggalah kepada kerabat diraja.

Begitupun, masih ramai wanita yang tidak memahami pemilihan tudung yang sesuai dengan bentuk muka, warna yang sepadan dengan pakaian, tempat yang dihadiri dan sebagainya.

Menurut pereka fesyen dan tudung serta pemilik Rousse Design, Rosemawati Md. Noh, apabila berbicara tentang tudung, terdapat beberapa pecahan mengenainya. Tudung boleh dibahagikan kepada anak tudung, tudung empat segi, selendang, tudung sarung, serkup, topi dan turban.

Tudung empat segi yang dipakai oleh kebanyakan wanita Melayu pula dibuat daripada beberapa jenis kain seperti kain bawal, sifon dan polyana (campuran poliester dan kain kapas).

‘‘Hanya beberapa jenis kain sahaja yang sesuai dan cantik untuk membuat tudung seperti sutera, sifon dan bawal,’’ kata Rosemawati.

Sementara itu tambah beliau, kain memeri (stretchtable) dan kain spandex menjadi pilihan pereka tudung untuk membuat tudung sarung kerana kain jenis itu berat dan terletak cantik di atas kepala apabila memakainya.

Turban juga sesuai dibuat daripada kain memeri, namun ia bergantung kepada rekaan turban itu sendiri. Selain kain memeri, turban turut sesuai dibuat daripada kain kapas di mana pemakainya tidak akan berasa terlalu panas.

Rosemawati yang menghasilkan pelbagai rekaan tudung dan hiasan di atas tudung turut mencipta topi kait yang dibuat daripada benang bulu dan pemakaian topi ini sesuai dengan baju berleher turtle neck. Topi jaring pula dipakai sebagai hiasan di atas kepala selepas memakai tudung.

Namun rekaan tudung Rosemawati yang lebih eksklusif adalah tudung empat segi bawal berhias manik. Manik-manik Jepun yang halus, berkilat, tidak luntur warna dan tidak mudah pecah dijahit di atas bahagian kepala (berbentuk seperti cekak), di bahagian tepi tudung atau sudut sahaja.

‘‘Tudung eksklusif ini dibuat daripada kain bawal jenis A yang lembut, tidak berbulu apabila dibasuh, tidak panas dan selesa dipakai,’’ ujar Ros.

Beliau berkata, bagi membuat tudung ini, memerlukan kain bawal jenis A sepanjang 1.2 meter. Kemudian bahagian tepi tudung dijahit halus.

Seterusnya manik halus dijahit pada dua bahagian tepi tudung. Bagi jahitan manik untuk atas kepala, lipat dua tudung bentuk tiga segi dan jarakkan setengah inci daripada bahagian tepi atas tudung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan